Monday, December 3, 2012

Ruang masih luas untuk kaum Cina sertai sukarelawan polis

KANGAR, 8 Nov — Penyertaan kaum Cina dalam pasukan sukarelawan simpanan polis (PVR) masih kecil walaupun ruang begitu luas untuk mereka menyertainya, kata Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron hari ini.

Menurutnya, ketika proses temuduga pengambilan PVR Perlis bulan lalu, hanya tiga daripada 920 calon terdiri daripada kaum Cina.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 100 pemimpin daripada sepuluh persatuan komuniti Cina seluruh Perlis di sini hari ini.

Perlis akan membuat pengambilan sebanyak 200 anggota PVR dalam tempoh terdekat bagi memantapkan lagi usaha menangani jenayah.

Zull Aznam berkata, peratusan keanggotaan kaum Cina sebagai pegawai dan anggota tetap dalam pasukan polis juga masih kecil dan daripada hampir 1,800 pegawai dan anggota polis di Perlis hanya 21 orang terdiri daripada kaum itu.

Mengenai kadar jenayah di Perlis, Zull Aznam berkata, keadaan adalah terkawal walaupun terdapat peningkatan kes mendatangkan kecederaan antara Januari dan Oktober tahun ini.

Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak 66 kes mendatangkan kecederaan dilaporkan berbanding 59 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi jenayah seksual terdapat penurunan dengan 37 kes dilaporkan sehingga Oktober lalu berbanding 42 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. — Bernama
Related Posts with Thumbnails