Wednesday, October 31, 2012

Guru Akan Diserap Jadi Sukarelawan Polis Cegah Jenayah

KUALA LUMPUR: Guru sekolah bakal diiktiraf sebagai kumpulan sokongan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) khusus bagi membantu mencegah kegiatan jenayah di kawasan sekolah.
Hadir ke sekolah lengkap beruniform polis, kumpulan guru terpilih itu juga bakal diberikan kuasa hampir sama dengan anggota polis.

Selain golongan pendidik, beberapa kumpulan dalam masyarakat seperti doktor, ahli perniagaan dan individu perseorangan juga akan dilibatkan menerusi Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) bagi membantu PDRM mencegah jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penglibatan kumpulan berpengaruh dalam masyarakat menerusi PVR bakal dilaksanakan menerusi fasa Kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan jenayah."Saya akan lantik anggota PVR di kalangan guru-guru sekolah. Bila pergi ke sekolah mereka akan pakai uniform polis.

"Kita mahu masyarakat bekerjasama dengan polis. Bukan susah pun, bukan nak suruh tangkap orang. Mereka hanya perlu pakai uniform kerana penampilan beruniform memberi kesan yang besar terutama bagi mencegah jenayah," katanya menerusi wawancara eksklusif di sini, Khamis.

Jelas Ismail, langkah untuk melibatkan golongan pendidik dan kumpulan masyarakat itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2013 untuk menambah bilangan PVR seramai 10,000 orang dengan peruntukan sebanyak RM70 juta bagi membantu polis membanteras jenayah.

Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai kira-kira 5,000 anggota PVR di seluruh negara.
Bagaimanapun menurut Ismail, pihaknya akan mengadakan perbincangan terpeinci mengenai cadangan itu bersama pihak berwajib termasuk ketua pengarah pelajaran untuk melibatkan guru sebagai anggota PVR.
"PDRM tak mahu cadangan ini dianggap seolah-oleh kita bagi tekanan kepada guru. Kerja utama mereka tetap mengajar. Mereka hanya perlu pakai uniform.

"Masa untuk mereka bertugas juga fleksibel. Sebagai contoh kita galakkan mereka untuk pakai uniform apabila bersama pelajar di luar kawasan sekolah untuk aktiviti luar," katanya.
Mengulas lanjut mengenai penglibatan guru sebagai anggota PVR, Ismail menjelaskan ia tidak menggambarkan seolah-oleh berlakunya kadar jenayah yang tinggi di sekolah sebaliknya hanya sebagai langkah pencegahan."Uniform (polis) memberi gambaran yang baik kerana kita mahu tanamkan kepada pelajar bahawa baju ini adalah lambang disiplin.

"Keduanya, penglibatan guru sebagai anggota PVR dengan memakai uniform polis lebih kepada memberi amaran serta peringatan kepada orang luar yang mempunyai niat jahat," katanya.
Selain itu Ismail berkata, perancangan itu merupakan lanjutan kepada program blue and green yang membabitkan anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah.

"Sekarang ini sudah ada polis dan Rela di sekolah. Jadi selepas ini kita akan buat dalam skala yang lebih besar. PDRM akan libatkan semua sekolah dan ia bakal dilaksanakan secara berfasa," katanya lagi.
Related Posts with Thumbnails