Tuesday, March 29, 2011

Indeks jenayah Kedah turun 8.49%

ALOR SETAR 25 Mac - Usaha polis dengan kerjasama pelbagai pihak berjaya mengurangkan 8.49 peratus indeks jenayah di negeri ini bagi tempoh Januari lalu hingga pertengahan bulan ini.


Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, polis turut berjaya menurunkan kadar jenayah jalanan sebanyak 29.9 peratus bagi tempoh sama.


Beliau berkata, kejayaan itu juga merupakan hasil daripada pelaksanaan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah yang diperkenalkan kerajaan.


"Walaupun indeks jenayah turun, usaha memerangi jenayah di semua peringkat akan terus diperhebatkan," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 Kontinjen Kedah di sini hari ini.


Abdul Ghafar berkata, kerjasama yang lebih erat antara warga polis dan masyarakat mesti dimantapkan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mengurangkan jenayah.


Katanya, komunikasi dua hala antara polis dan masyarakat dapat membantu kepada penurunan indeks jenayah yang memberangsangkan.


"Tanpa kerjasama daripada masyarakat yang memberi maklumat, sudah pasti misi polis untuk memerangi jenayah menjadi agak sukar," ujar beliau.

Related Posts with Thumbnails