Sunday, February 27, 2011

Polis bertaraf dunia

KUALA LUMPUR: Bagi menjadikan perkhidmatan polis Kuala Lumpur bertaraf dunia, kita (polis) bercadang agar pangkat inspektor diberi kepada golongan profesional yang menyertai sukarelawan polis, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah.

Menurutnya, struktur itu penting untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan kawalan keselamatan kepada masyarakat terutama di ibu negara.

Ia lebih tertumpu pada mereka yang mempunyai kriteria seperti berkebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Arab serta celik teknologi maklumat dan mahir dalam bidang tertentu akan diberi keutamaan menjawat pangkat berkenaan, katanya ketika ditemui pada Perbarisan Tamat Latihan Asas Rekrut Sukarelawan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya akan menghantar kertas kerja berhubung cadangan itu kepada kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan pertimbangan.

Setakat hari ini (semalam), seramai 52 anggota rekrut pelbagai kaum berjaya menamatkan latihan Sukarelawan Polis yang memegang pangkat Konstabel, terdiri daripada 12 penjawat awam dan 40 pekerja swasta, katanya.

Zulkifli berkata, beliau percaya ramai individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu dan berminat serta berkelayakan untuk menjadi polis, namun terikat dengan pekerjaan.

Melalui cara ini, mereka yang berminat menjadi polis, namun mempunyai komitmen lain boleh meneruskan cita-cita menjadi polis, katanya.
Related Posts with Thumbnails