Sunday, February 27, 2011

3 juta Rela, NGO, JPAM bantu polis

PUTRAJAYA 19 Feb. - Seramai tiga juta sukarelawan daripada Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membantu polis menjalankan rondaan di seluruh negara bermula Ogos ini.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, langkah bersepadu itu adalah cara terbaik untuk membantu kerajaan mengurangkan kadar jenayah negara.


Beliau menjelaskan, kerjasama bersepadu yang diberikan oleh anggota Rela kepada pihak polis selama ini berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 17 peratus.


"Pada 1 Ogos ini seramai tiga juta anggota sukarelawan daripada Rela, JPAM dan NGO akan digerakkan untuk membantu pihak polis menjalankan rondaan.


"Semangat sukarelawan ini akan dapat menguatkan lagi usaha untuk membanteras kejadian jenayah seperti yang dilakukan di luar negara di mana mereka bekerjasama untuk tujuan tersebut," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Ahli-ahli Kehormat Rela seluruh negara di Dewan Gemilang di kementerian tersebut hari ini.

Pada majlis itu seramai 76 anggota rela dianugerahkan pangkat kehormat Rela.


Antaranya, Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menerima pangkat kehormat Kolonel Rela dan bapa mertua beliau, Lt. Kol. (B) Mohd. Yunos Mohd. Ali yang menerima pangkat kehormat Brigadier Jeneral.


Dalam pada itu, Mahmood berkata, pada 19 Mac depan, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengenal pasti beberapa lagi mejar jeneral yang akan dilantik untuk mengetuai zon utara, selatan dan tengah bagi menangani masalah rakyat.


Sementara itu, Sheikh Muszaphar yang terkejut dengan penganugerahan tersebut berkata, beliau akan berusaha untuk menarik golongan muda terutamanya mahasiswa untuk menyertai Rela.

Related Posts with Thumbnails