Thursday, September 2, 2010



Ismail Omar

PUTRAJAYA 1 Sept. – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, 57, hari ini dicadangkan dilantik sebagai Ketua Polis Negara baru menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang akan tamat kontrak pada 12 September ini.

Mengumumkan demikian di sini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Datuk Hussin Ismail, 57, pula dicadangkan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Musa yang telah berkhidmat selama 41 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

‘‘Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara merupakan jawatan khas di bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan dengan cadangan lantikan ke jawatan ini tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

‘‘Pelantikan (secara rasmi) akan diumumkan oleh Perdana Menteri,” kata beliau pada sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri.

39 lokasi kemalangan dipantau

KUBANG PASU 1 Sept. – Polis akan memberi tumpuan terhadap 39 lokasi maut yang sering berlaku kemalangan di negeri ini sepanjang Ops Sikap Ke-22 yang bermula Jumaat ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan berkata, antara lokasi yang dikenalpasti ialah Kilometer 1-9, Jalan Alor Setar- Pokok Sena; Kilometer 8, Jalan Alor Setar-Kangar serta Kilometer 1-3, Jalan Alor Setar- Sungai Petani (Tandop).

“Polis akan melakukan rondaan bermotosikal ringan dalam kawasan bandar dan di pekan-pekan yang kerap berlaku kemalangan.

“Rondaan jarak jauh berkereta dan motosikal berat di jalan Persekutuan dan negeri yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan juga akan dijalankan bagi memantau keadaan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ops Sikap Ke-22 peringkat negeri di Plaza Tol Jitra di sini hari ini.

Katanya, selain itu, polis juga akan menjalankan rondaan dalam jangka pendek di kawasan yang sesak untuk melicinkan perjalanan trafik.

“Bagi anggota trafik di negeri ini, cuti mereka dibekukan dan hanya 10 peratus anggota polis sahaja yang dibenarkan bercuti. Ini bagi membolehkan mereka bertugas sepanjang Ops Sikap kali ini yang akan bermula Jumaat ini sehingga 17 September depan,” katanya.

Jelasnya, tujuan Ops Sikap diadakan bukan untuk menghukum pengguna lalu lintas, sebaliknya bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

4,000 polis dalam Ops Sikap ke-22

Seramai 4,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk mengawal trafik di seluruh negara sempena Ops Sikap ke-22 yang dilaksanakan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata anggota-anggota PDRM yang terlibat dalam Ops Sikap itu turut merangkumi pegawai polis di peringkat daerah dan juga dari unit tugas-tugas am.

"Selain skuad peronda, kami juga libatkan ramai anggota pada Ops Sikap kali ini termasuklah Ketua-ketua Polis Daerah dan anggota tugasan am, bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung sempena musim perayaan ini," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program bual-bicara 'Hello Malaysia'di Wisma Bernama hari ini.

Ops Sikap ke-22 akan bermula pada 3 September dan berakhir 17 September ini.

Beliau berkata PDRM juga akan menempatkan anggotanya di kawasan-kawasan 'hot spot' iaitu kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan tertinggi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Kami anggarkan pertambahan kenderaan empat ke lima kali ganda di jalan raya pada musim perayaan ini terutamnya sehari sebelum dan pada hari raya pertama.

Jadi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan, kami akan dirikan khemah yang menempatkan anggota polis statik di 100 lokasi hot spot yang meliputi jalan persekutan dan jalan negeri, manakala 33 lokasi (hot spot) lagi di lebuhraya,"katanya.

Abdul Aziz berkata anggota-anggota polis yang memantau keadaan trafik di jalan persekutuan dan negeri akan bertugas selama 12 jam.

"Bagi anggota yang ditempatkan di lebuhraya, mereka akan bertugas selama 24 jam, begitu juga dengan polis peronda dan anggota ini juga bergantung kepada keadaan, iaitu antara satu ke dua orang pada tiap-tiap lokasi," kata Abdul Aziz.

Beliau turut memberi jaminan tiada sekatan jalan akan dilakukan di semualebuh raya dan jalan utama negara bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik pengguna jalan raya dari satu destinasi ke destinasi lain selain mengelak kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan.

"Kami tempatkan anggota polis untuk memberi rasa selamat kepada pengguna dan untuk mengelak berlaku jenayah pada pengguna jalan raya. Kami mahu perjalanan pengguna pada masa itu lancar, jadi tiada sekatan akan dibuat melainkan terpaksa berbuat demikian," katanya.
Related Posts with Thumbnails