Thursday, September 2, 2010

4,000 polis dalam Ops Sikap ke-22

Seramai 4,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk mengawal trafik di seluruh negara sempena Ops Sikap ke-22 yang dilaksanakan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata anggota-anggota PDRM yang terlibat dalam Ops Sikap itu turut merangkumi pegawai polis di peringkat daerah dan juga dari unit tugas-tugas am.

"Selain skuad peronda, kami juga libatkan ramai anggota pada Ops Sikap kali ini termasuklah Ketua-ketua Polis Daerah dan anggota tugasan am, bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung sempena musim perayaan ini," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program bual-bicara 'Hello Malaysia'di Wisma Bernama hari ini.

Ops Sikap ke-22 akan bermula pada 3 September dan berakhir 17 September ini.

Beliau berkata PDRM juga akan menempatkan anggotanya di kawasan-kawasan 'hot spot' iaitu kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan tertinggi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Kami anggarkan pertambahan kenderaan empat ke lima kali ganda di jalan raya pada musim perayaan ini terutamnya sehari sebelum dan pada hari raya pertama.

Jadi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan, kami akan dirikan khemah yang menempatkan anggota polis statik di 100 lokasi hot spot yang meliputi jalan persekutan dan jalan negeri, manakala 33 lokasi (hot spot) lagi di lebuhraya,"katanya.

Abdul Aziz berkata anggota-anggota polis yang memantau keadaan trafik di jalan persekutuan dan negeri akan bertugas selama 12 jam.

"Bagi anggota yang ditempatkan di lebuhraya, mereka akan bertugas selama 24 jam, begitu juga dengan polis peronda dan anggota ini juga bergantung kepada keadaan, iaitu antara satu ke dua orang pada tiap-tiap lokasi," kata Abdul Aziz.

Beliau turut memberi jaminan tiada sekatan jalan akan dilakukan di semualebuh raya dan jalan utama negara bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik pengguna jalan raya dari satu destinasi ke destinasi lain selain mengelak kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan.

"Kami tempatkan anggota polis untuk memberi rasa selamat kepada pengguna dan untuk mengelak berlaku jenayah pada pengguna jalan raya. Kami mahu perjalanan pengguna pada masa itu lancar, jadi tiada sekatan akan dibuat melainkan terpaksa berbuat demikian," katanya.
Related Posts with Thumbnails