Thursday, September 2, 2010

39 lokasi kemalangan dipantau

KUBANG PASU 1 Sept. – Polis akan memberi tumpuan terhadap 39 lokasi maut yang sering berlaku kemalangan di negeri ini sepanjang Ops Sikap Ke-22 yang bermula Jumaat ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan berkata, antara lokasi yang dikenalpasti ialah Kilometer 1-9, Jalan Alor Setar- Pokok Sena; Kilometer 8, Jalan Alor Setar-Kangar serta Kilometer 1-3, Jalan Alor Setar- Sungai Petani (Tandop).

“Polis akan melakukan rondaan bermotosikal ringan dalam kawasan bandar dan di pekan-pekan yang kerap berlaku kemalangan.

“Rondaan jarak jauh berkereta dan motosikal berat di jalan Persekutuan dan negeri yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan juga akan dijalankan bagi memantau keadaan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ops Sikap Ke-22 peringkat negeri di Plaza Tol Jitra di sini hari ini.

Katanya, selain itu, polis juga akan menjalankan rondaan dalam jangka pendek di kawasan yang sesak untuk melicinkan perjalanan trafik.

“Bagi anggota trafik di negeri ini, cuti mereka dibekukan dan hanya 10 peratus anggota polis sahaja yang dibenarkan bercuti. Ini bagi membolehkan mereka bertugas sepanjang Ops Sikap kali ini yang akan bermula Jumaat ini sehingga 17 September depan,” katanya.

Jelasnya, tujuan Ops Sikap diadakan bukan untuk menghukum pengguna lalu lintas, sebaliknya bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
Related Posts with Thumbnails