Sunday, August 15, 2010

Polis sedia cadangkan siasatan kes kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik dan bersedia menyiasat kes-kes pembuangan bayi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh sekiranya mempunyai bukti-bukti kukuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, pihaknya tidak teragak- agak mencadangkan siasatan kes di bawah seksyen tersebut kepada Peguam Negara jika wujud perkara sedemikian.

Beliau berkata, bagaimanapun penentuan tuduhan itu terletak di bawah bidang kuasa Peguam Negara kerana PDRM hanya menjalankan siasatan dan mencari bukti-bukti.

"Tugas kita mengambil keterangan, menjalankan siasatan dan mencari bahan bukti bagi kes terbabit.

"Soal kes itu disiasat mengikut seksyen apa, ia adalah tugas pihak Peguam Negara yang akan tentukan.

"Bagaimanapun, kita (polis) boleh mencadangkan siasatan kes itu kepada pihak Peguam Negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan hari ini mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataannya berkata, arahan itu diputuskan selepas isu mengenai kes buang bayi dibangkitkan kementerian tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri bersetuju kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM diminta untuk menyiasat kes itu sebagai kes percubaan membunuh dan kes bunuh.
Related Posts with Thumbnails