Sunday, August 15, 2010

Boleh baharui cukai jalan, lesen memandu

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pemilik kenderaan yang masih menghadapi masalah untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu disebabkan saman ekor boleh berbuat demikian selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengemas kini data-data sistem jabatan itu, semalam.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd. Nadzri Osman mengakui wujud 'gangguan' untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan tetapi telah berjaya diselesaikan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan masalah tersebut.

"Kita baru selesai mengemas kini data-data pemilik kenderaan yang disenarai hitam dan ingin memperbaharui cukai jalan serta lesen.

"Bermula semalam, orang ramai boleh pergi ke pejabat JPJ untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan kerana semua sistem di pejabat JPJ telah dikemas kini.

"Bagaimanapun, orang ramai perlu membayar saman-saman terbabit di kaunter pejabat dan bukannya di kios," katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai yang mempunyai masalah tersebut supaya merujuk kepada pihak JPJ.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusuf berkata, perkara itu adalah di bawah tanggungjawab JPJ sejak penarikan sementara saman yang disenaraihitamkan.

Beliau menjelaskan, penambahbaikan sistem pengurusan saman berkomputer (saman trafik cops) yang sedang dijalankan PDRM sehingga 16 Ogos ini, tidak melibatkan urusan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan masing-masing.

Beliau mengulas rungutan orang ramai yang masih gagal memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan masing-masing meskipun selepas kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan buat sementara waktu bermula kelmarin hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, Kabinet mengambil keputusan itu setelah mengambil kira dan mempertimbangkan aduan, rayuan serta rungutan orang ramai mengenai tindakan itu.
Related Posts with Thumbnails