Monday, July 5, 2010

Masyarakat diseru bekerjasama tangani jenayah


Khalid Abu Bakar (kanan) menerima balai polis bergerak daripada Lee Yeow Chor di IOI Mall, Puchong, semalam.


SUBANG JAYA 4 Julai - Masyarakat tidak wajar menyalahkan polis jika berlaku kejadian jenayah, sebaliknya perlu memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan itu untuk membantu menangani masalah tersebut.


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis amat mengharapkan kerjasama masyarakat termasuk komuniti korporat untuk membantu memerangi jenayah.


Beliau berkata, kerjasama itu boleh diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada dengan menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah, terlibat membantu dalam program kepolisan masyarakat, skim rondaan sukarela dan rukun tetangga.


Khalid percaya dengan adanya semangat dan kerjasama erat daripada masyarakat maka kejadian jenayah dapat dibendung.


"Saya menyeru seluruh masyarakat, tidak mengira komuniti penduduk atau korporat untuk bersama-sama dengan pihak polis dalam mencegah dan memerangi jenayah.


"Jenayah berlaku tidak mengira tempat dan masa, bangsa atau agama, status atau pangkat, kaya mahupun miskin," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan balai polis bergerak sumbangan IOI Properties Berhad kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di IOI Mall Puchong di sini hari ini.


Turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan IOI, Datuk Lee Yeow Chor; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar.


Sementara itu, Khalid berkata, balai polis bergerak itu akan diberikan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk digunakan bagi tugas rondaan di kawasan perumahan dan komersial sekitar Bandar Puteri Puchong serta Bandar Puchong Jaya.


Katanya, balai polis bergerak yang merupakan sebuah van itu dilengkapi dengan komputer bagi membolehkan anggota bertugas menerima laporan daripada orang ramai.


Tambahnya, kenderaan itu juga akan digunakan oleh pegawai penyiasat untuk ke lokasi kejadian jenayah.

Related Posts with Thumbnails