Monday, June 14, 2010

Polis ambil keterangan keluarga, rakan mangsa dibunuh

KUALA LUMPUR 13 Jun - Polis telah mengambil keterangan ahli keluarga dan rakan kepada pemilik kelab malam dan teman wanitanya yang mati ditembak dalam kenderaan di tempat letak kereta di Kondominium Bam Villa di Taman Maluri, awal pagi kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, keterangan mereka penting bagi membantu polis mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek terlibat dalam pembunuhan itu.


''Melalui keterangan diberikan oleh mereka yang rapat dengan mangsa, kita harap dapat memperoleh maklumat bagi membantu menyelesaikan kes ini.


''Ketika ini, siasatan kita menjurus kepada semua sudut termasuklah cemburu dan balas dendam,'' katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Dalam Perkhidmatan (Siri 2/2010) Sukarelawan Polis (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia/Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) Daerah Cheras di Balai Polis Alam Damai, di sini hari ini.


Awal pagi kelmarin, pasangan terbabit mati setelah ditembak beberapa das di kepala ketika berada di dalam kenderaan di tempat letak kereta pangsapuri itu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi, mangsa K. C Wong, 52, dan Leong Yan Chen, 34, dikatakan baru pulang dari bekerja dengan menaiki kenderaan Honda CRV sebelum dihampiri dua lelaki.


Suspek kemudian melepaskan kira-kira 13 das tembakan ke arah kedua-dua mangsa dari jarak dekat.


Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, kehadiran anggota sukarelawan polis simpanan (PVR) menjalankan tugas rondaan berjaya menurunkan kadar jenayah di daerah Cheras.


"Di daerah Cheras, kawasan yang menjadi tumpuan penjenayah ialah Taman Midah, Taman Connaught, Taman Alam Damai dan Bandar Sri Permaisuri.


"Dengan adanya kehadiran anggota PVR, kita berjaya menurunkan 61.3 peratus atau 68 kes jenayah di Taman Midah, Taman Connaught (60.3 peratus atau 94 kes), Alam Damai (42.1 peratus atau 24 kes) dan Bandar Sri Permaisuri (45 peratus atau 118 kes)," katanya.


Secara keseluruhannya, kata beliau, kadar jenayah di daerah itu menurun 35 peratus atau berkurangan 1,587 kes sejak 1 Januari hingga 10 Jun lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Related Posts with Thumbnails