Wednesday, June 23, 2010

3,675 anggota polis zaman darurat terima RM1,000

PONTIAN 20 Jun - Seramai 3,675 bekas anggota polis yang berkhidmat semasa zaman darurat dari 1948 hingga 1962 akan menerima sumbangan khas sebanyak RM1,000 daripada Kementerian Dalam Negeri.


Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Bekas Anggota Polis dan Penjara, Ishak Mohd. Salleh berkata, proses pembayaran sudah bermula di Sibu, Sarawak dan akan diikuti tempat lain.


Menurutnya, mereka yang layak menerima sumbangan khas itu merupakan anggota yang pernah berkhidmat sekurang-kurangnya selama 12 bulan dalam tempoh darurat dengan memegang pelbagai jawatan dalam pasukan yang bertugas termasuk di Sabah dan Serawak.


Jelasnya, pasukan berkenaan di Semenanjung ialah Home Guard (HG), Special Constabulary (SC), EPC Extra Police Constable (EPC), Woman Special Constable (WSC).


Di Sabah dan Serawak pula katanya, melibatkan Border Scout (BS), EPC, Auxiilliary Police (AP), Police Field Force Reservict (PFFR), Contract Inspector (CI), Company North Borneo Army Constabulary dan Special Constable (SC).


''Sumbangan khas ini sebagai tanda terima kasih dan ingatan kerajaan di atas segala pengorbanan yang diberikan mereka semasa menentang komunis, konfrantasi dengan Indonesia dan lain-lain ancaman keselamatan,'' katanya semasa mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam menyampaikan cek bagi daerah Pontian di IPD Pontian di sini semalam.


Pada majlis itu seramai 315 daripada 488 orang bekas polis menerima cek masing-masing bernilai RM1,000 daripada Ishak.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin; Pengerusi Persatuan Bekas-bekas Anggota Polis Negeri Johor, Mohd. Shah Ithnin dan Pengerusi Bekas-bekas Anggota Polis Pontian, Jamian Abu Bakar.

Related Posts with Thumbnails