Thursday, May 27, 2010

Peras ugut: Tiga polis ditahan

KUALA LUMPUR 25 Mei - Tugas polis sepatutnya melindungi orang awam daripada menjadi mangsa penjenayah, namun seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor dan dua rakannya yang juga anggota polis boleh diibaratkan seperti 'harapkan pagar, pagar makan padi'.


Ini kerana ketiga-tiga mereka menyamar sebagai anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman untuk memeras ugut seorang pemilik rumah urut supaya membayar RM10,000 bagi mengelak premis dan pekerjanya dikenakan tindakan.


Namun, tembelang pegawai dari Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 6 Terengganu dan anggota detektif berpangkat Lans Koperal dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras serta anggota Polis Sukarelawan dari IPD Dang Wangi itu terbongkar apabila pemilik rumah urut terbabit menghubungi IPD Gombak memaklumkan perkara itu.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketiga-tiga suspek yang menyamar sebagai anggota D7 Bukit Aman pergi ke rumah urut di Medan Batu Caves pada pukul 5.30 petang kelmarin.


"Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, mereka kemudian berpura-pura melakukan pemeriksaan lesen dan pasport semua pekerja di situ.


"Semasa membuat semakan pasport, suspek mendakwa pekerja terbabit telah melanggar syarat bekerja di negara ini lalu meminta seorang penyelia lelaki berusia 39 tahun di premis itu menghubungi majikannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Menurutnya, sewaktu berbual dalam telefon dengan pemilik rumah urut terbabit, suspek telah meminta wang RM10,000 sebagai syarat untuk menyelesaikan kes berkenaan.


Abdul Rahim berkata, mangsa berpura-pura setuju dengan syarat tersebut dan berjanji menghantar wang terbabit kepada suspek tetapi pada masa yang sama menghubungi IPD Gombak meminta menyiasat suspek yang berada di premisnya.


Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari IPD Gombak yang pergi menyiasat ketiga-tiga suspek kemudian mendapati mereka menyamar dan melakukan ugutan terhadap pemilik rumah urut berkenaan.


"Ketiga-tiga mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan," katanya.

Related Posts with Thumbnails