Thursday, May 27, 2010

Inisiatif baru Polis Kelantan


Papan iklan yang dipasang oleh Polis Kelantan untuk mengingatkan orang ramai supaya bersama-sama mencegah kemungkaran di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 25 Mei - Polis negeri mengambil inisiatif baru untuk terus mewujudkan kesedaran dan kerjasama orang ramai di negeri ini dalam memerangi jenayah.


Puluhan papan iklan memaparkan tuntutan itu yang selaras dengan kehendak agama berpandukan ayat-ayat suci al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.


Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebanyak 54 papan iklan besar ditempatkan di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri ini.


Beliau berkata, pihak polis mahu supaya rakyat berasa tanggungjawab bersama dengan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.


"Papan iklan itu dipasang sejak dua minggu lalu di lokasi-lokasi strategik selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Katanya, pada masa sama, pihaknya mahu memberitahu kepada rakyat bahawa polis sentiasa bersedia membantu orang ramai dan ia merupakan salah satu daripada program 'Community Policing'.

"Selain itu, kita juga mahu supaya orang ramai melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada kes jenayah yang berlaku di kawasan mereka," katanya


Abdul Rahim berkata, versi baru papan iklan itu juga diharapkan dapat menimbulkan kesedaran kerana ia turut dipamerkan bersama ayat al-Quran dan hadis bersama maksudnya.


Katanya, pegangan agama merupakan faktor penting untuk mengelakkan seseorang daripada melakukan jenayah dan ia merupakan satu pendekatan yang dilakukan oleh Polis Kelantan.


"Jika dahulu kita menggunakan kartun untuk menarik perhatian orang ramai tetapi sekarang kita menggunakan ayat al-Quran supaya ia dapat menimbulkan kesedaran.


"Disebabkan itu juga, program untuk mendekatkan polis dengan masyarakat kita lakukan di masjid-masjid kerana bagi saya dengan pegangan agama yang kukuh ia dapat menghindari masyarakat daripada terlibat dengan jenayah atau kegiatan tidak bermoral," katanya.

Related Posts with Thumbnails