Tuesday, May 4, 2010

17 juta saman tertunggak 2000-2008


Solah Mat Hassan (kiri) diperhatikan Shuhaili Mohd. Taufik menyampaikan sijil kepada Rositah Ahmad Tahor pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ 2009 Sabah di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 3 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mencari jalan menyelesaikan 17 juta keping saman tertunggak dari 2000 hingga 2008 melalui beberapa strategi dan pendekatan baru.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, langkah itu penting bagi menjaga imej organisasi tersebut sekali gus meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatannya.


"Hebahan akan dilakukan melalui media massa. Sekiranya gagal membayar selepas diberitahu kita akan menyenarai hitam mereka. Tempoh akhir pembayaran akan diumum nanti," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurna Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 JPJ Sabah di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.


Turut hadir ialah Pengarah JPJ Sabah, Shuhaili Mohd. Taufik. Seramai 44 anggota JPJ negeri menerima anugerah berkenaan yang terdiri daripada para pegawai dari seluruh Sabah.


Solah berkata, daripada jumlah saman itu, sebanyak 500,000 dikeluarkan pihak JPJ manakala selebihnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Beliau memberitahu, antara punca utama tunggakan itu adalah mereka yang disaman itu bersikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.


Jelasnya, proses peralihan penyimpanan data JPJ daripada manual kepada sistem komputer antara 2000 hingga 2006 juga menjadi salah satu sebab kepada tunggakan itu.


Bagi memantap operasi JPJ, Solah berkata, pihaknya akan mempraktik prosedur operasi standard (SOP) untuk melayakkan pensijilan ISO terhadap perkhidmatan organisasi itu pada tahun depan.


Melalui langkah tersebut katanya, semua bentuk peraturan dan sistem JPJ termasuk di Sabah dan Sarawak akan diselaras dan pembaharuan itu akan memudahkan operasi pihaknya.


Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, pihaknya menerima 3,135 jumlah aduan daripada orang awam atas pelbagai masalah bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.


"Antara kesalahan utama ialah kegagalan penguatkuasaan, kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan di kaunter atau telefon, salah guna kuasa, penyelewengan dan kegagalan ikut prosedur," katanya.


Jumlah tersebut katanya, melebihi aduan dalam tempoh setahun iaitu sebanyak 11,720 pada tahun lalu dan 8,071 pada tahun sebelumnya.

Related Posts with Thumbnails