Wednesday, April 7, 2010

Ops Payung di stesen minyak kurangkan jenayah


AYUB Yaakob (tengah, belakang) bergambar bersama pengusaha-pengusaha stesen minyak Shell selepas merasmikan Program Mencegah Jenayah PDRM bersama Shell Pulau Pinang di Jelutong, semalam.


PULAU PINANG 6 April - Polis akan melaksanakan operasi 'Ops Payung' di semua stesen minyak di negeri ini bagi mengurangkan kadar jenayah sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk berbuat demikian.


Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, buat masa ini, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan pengusaha stesen minyak terhadap polis dalam mencegah jenayah.


"Sekiranya kita menerima laporan jenayah yang sangat membimbangkan dan semakin berleluasa, khususnya di stesen-stesen minyak, polis tidak teragak- agak untuk melaksanakan Ops Payung dengan menempatkan anggota kita di stesen minyak bagi membanteras jenayah.


"Namun, ketika ini, laporan kes-kes jenayah di stesen minyak yang kita terima tidak banyak dan polis juga mendapat kerjasama baik daripada pengusaha stesen minyak, malah prosedur operasi standard yang kita tetapkan juga dipatuhi mereka," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program mencegah jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama para pengusaha Shell Pulau Pinang di Lebuh Raya Jelutong di sini hari ini.


Turut hadir, Pengurus Jualan dan Operasi Shell Malaysia, Leslie Ng; Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Abdul Rahim Hassan.


Sepanjang tahun lalu, kata Ayub, sebanyak 149 kes dilaporkan berlaku di stesen minyak membabitkan 15 kes jenayah kekerasan dan 134 kes jenayah harta benda.

Related Posts with Thumbnails