Tuesday, March 2, 2010

Tindakan ubah suai kenderaan

SUNGAI PETANI 28 Feb. - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang mengubahsuai kenderaan mereka sehingga menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan orang lain.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, ini kerana sebarang pengubahsuaian perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Menurutnya, berdasarkan peruntukan undang-undang, semua kenderaan dilarang daripada dilakukan ubahsuai kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa.


"Pengubahsuaian yang dibenarkan perlu mematuhi peraturan pemasangan sebagaimana dinyatakan dalam Kaedah Penggunaan dan Pembinaan, Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Mereka yang didapati melanggar syarat-syarat boleh dikenakan saman maksimum atau kenderaan disita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran kereta mini dan kempen pencegahan jenayah anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Kelab Vintage Mini Lagenda Heights di sini hari ini.


Pameran yang diadakan julung kali itu di daerah ini menghimpunkan lebih 80 pemilik kereta jenis Mini Cooper dari kawasan utara Semenanjung.


Menurut Hashim, berdasarkan pemantauan pihaknya, kebanyakan kes lumba haram yang dikesan sejak kebelakangan ini melibatkan kenderaan yang diubah suai.


Katanya, sesetengah daripada pemilik kenderaan tersebut sengaja mengubah suai enjin dan komponen untuk membolehkan kapasiti atau kelajuan ditingkatkan.


"Keadaan ini boleh menimbulkan kesulitan dan amat berbahaya kepada pengguna jalan raya lain. Selain mengakibatkan kemalangan jiwa, bunyi bising yang dihasilkan turut mengganggu orang ramai," katanya.


Sementara itu, Presiden Penaja Kelab Vintage Mini Lagenda Heights, Chatar Singh berkata, penganjuran aktiviti dan pameran tersebut bertujuan menggalakkan lagi penglibatan masyarakat dalam usaha membantu polis mencegah jenayah.


"Ahli-ahli kelab ini boleh memainkan peranan membantu melaporkan kegiatan jenayah untuk tindakan lanjut polis.


"Pada masa yang sama, kita juga boleh berkongsi pengalaman bagi menimbulkan kesedaran mengenai kaedah pemanduan lebih berhemah di jalan raya dengan orang awam," jelasnya.

Related Posts with Thumbnails