Sunday, March 7, 2010

Suspek kes tikam rakan mula sedar

ALOR SETAR 6 Mac - Suspek utama yang dipercayai terlibat menikam rakannya, Suhana Mohd. Shariff sehingga mati kelmarin, mula sedarkan diri pagi ini selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.


Wanita yang berusia 33 tahun itu kini dirawat di wad biasa di hospital tersebut.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, wanita itu bagaimanapun masih berada dalam keadaan lemah akibat kehilangan banyak darah.


"Buat masa ini, suspek berada di bawah jagaan polis dan kita akan tunggu dia pulih sepenuhnya sebelum soal siasat ke atasnya boleh dijalankan," katanya di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam di Taman Kristal, Mergong kelmarin, Suhana, 26, meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian badan termasuk perut dan dada dipercayai oleh rakan wanitanya.


Selepas kejadian itu, suspek dipercayai turut mengelar tangan kiri dan menikam dadanya sendiri.


Dua rakan karib itu dipercayai bergaduh dalam kereta jenis Perodua Viva milik mangsa kerana terdapat kesan darah ditemui di tempat duduk pemandu dan penumpang kereta berkenaan.


Abdul Ghafar berkata, soal siasat akan dijalankan setelah suspek kembali sihat dan mampu memberi keterangan berhubung kes berkenaan.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan suspek akan direman bagi membantu siasatan selepas dia dibenarkan keluar hospital.

Related Posts with Thumbnails