Sunday, March 28, 2010

Seksanya mayat bayi ini


Bahagian sebelah tangan mayat bayi lelaki (dalam bulatan) yang ditemui berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang, semalam.



KUALA LUMPUR 26 Mac - Belum pun cukup seminggu kes seorang bayi perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah di Ipoh, Perak, negara sekali lagi digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam keadaan yang tragis hari ini.


Jika bayi perempuan yang ditemui itu selamat dan diberikan nama Mahsya Kurnea, nasib yang dilalui bayi lelaki ini tidak sama.


Sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang masih bertali pusat itu diisi dalam plastik lalu dibuang di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang.


Sebelah tangan bayi malang yang telah bercerai dari badan itu kemudiannya digonggong oleh salah seekor daripada sekumpulan anjing yang menyelongkar bungkusan plastik itu.


Sukar untuk digambarkan betapa seksanya mayat bayi tidak berdosa itu diperlakukan.


Mujurlah ada seorang insan yang prihatin, kebetulan melalui jalan tempat kejadian kira-kira pukul 4 petang, ternampak kejadian menyayat hati itu.


Lelaki itu pada mulanya ternampak seekor anjing sedang menggonggong sesuatu berhampiran sebuah kilang simen.


Setelah dihampiri, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati apa yang digonggong oleh anjing itu adalah tangan kecil bayi.


Dia juga berasa pelik apabila ternampak sekumpulan anjing sedang mengerumuni satu bungkusan plastik.


Lelaki itu kemudian menghalau anjing-anjing tersebut dan apa yang menimbulkan kebimbangan dalam hatinya terjawab - bungkusan plastik itu berisi mayat seorang bayi.


Dia kemudiannya segera memaklumkan penemuan itu kepada polis yang bingkas datang ke lokasi mayat bayi tersebut ditemui.


Sabtu lalu, Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di Ipoh.


Malah, tidak tahan dengan isu pembuangan bayi ini - Utusan Malaysia menganjurkan kempen 'Kami Prihatin' bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan ini.


Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas 'Harapan Tanpa Suara'.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, bayi malang itu dibuang sebaik sahaja dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.


Beliau mengesahkan hanya tangan bayi itu yang terputus manakala anggota lain masih lengkap.


"Terdapat kecederaan pada anggota badan bayi berkenaan dipercayai akibat gigitan anjing liar. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Masih terlalu awal, katanya, untuk mengenal pasti bila bayi itu dilahirkan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia dibuang pagi ini.


Sehubungan itu, Arjunaidi meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Related Posts with Thumbnails