Sunday, March 28, 2010

Rela siap sedia perangi jenayah

SUNGAI DUA - Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Pulau Pinang siap sedia memikul tanggungjawab memerangi jenayah bersama polis di negeri ini jika diarah berbuat demikian.

Pengarahnya, Romli Ibrahim berkata, buat permulaan, seramai 272 anggotanya yang melepasi proses temu duga untuk menjadi anggota sukarelawan polis (PVR) dan dijangka mula mengikuti kursus dalam masa terdekat.

Menurutnya, kursus itu bertujuan mempersiapkan anggota Rela yang terpilih sebelum bersama polis dan agensi lain melaksanakan amanah baru itu yang bakal dilakukan setiap Sabtu dan Ahad. Selain itu, mengikut kesesuaian operasi dan bidang tugas yang bakal ditetapkan kelak.

“Mereka yang terlibat ini akan mengikuti kursus di dua tempat iaitu sama ada di Latihan Akademi Polis di Butterworth ataupun di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah.

“Kursus ini wajib diikuti oleh anggota Rela yang terpilih ke pasukan PVR itu sebagai persediaan bagi mengelak sebarang masalah berbangkit ketika menjalankan tugas yang diberikan nanti,” katanya ketika menyertai kakitangannya meninjau program Jom Masuk Rela yang diadakan di Dewan Besar, Sungai Dua di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Rela Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Ramlah Ismail, pegawai dan ahli Rela SPU serta orang ramai.

Program sehari suntuk itu diadakan bagi menambah bilangan keahlian anggota Rela di negeri ini yang berjumlah 31,692 orang. Ia juga menjadi salah satu agen pelaksana mencegah jenayah bersama agensi penguat kuasa lain.

Ini berikutan saranan dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahu anggota Rela diberikan tugas di bawah projek PVR dalam membantu polis menangani jenayah terutamanya di kawasan panas seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Romli berkata, pihak Rela negeri ini juga masih menjalankan temu duga terbuka di beberapa tempat lain bagi memantapkan lagi pasukan itu.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian mendapati sambutan yang diterima dari orang ramai pada program itu amat menggalakkan.

Selain remaja, golongan dewasa termasuk mereka yang terdiri dari penduduk kampung turut mencuba nasib menghadiri temu duga itu.
Related Posts with Thumbnails