Tuesday, March 23, 2010

Polis hanya terima arahan pegawai atasan

KUALA LUMPUR 22 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan menjalankan tugas berdasarkan arahan yang diterima daripada ketua dalam pasukan itu dan bukannya pihak luar.


Ini kerana, arahan yang diterima daripada mereka yang bukan berkhidmat dalam PDRM boleh mencalarkan kredibiliti pasukan tersebut.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, meskipun mengakui wujud tekanan kepada anggota dan pegawainya, pihaknya akan menjalankan siasatan dan tugas berdasarkan undang-undang yang ditetapkan dalam PDRM.


"Selain itu, PDRM juga merupakan satu pasukan yang tidak berat sebelah dalam menjalankan sesuatu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Semalam, portal berita propembangkang Malaysiakini yang memetik wawancara Mingguan Malaysia Ahad lalu berkata, Musa mendedahkan kebelakangan ini seperti ada tekanan kepada pasukan polis, sama ada dari pihak politik atau orang-orang tertentu.


Menurutnya, mereka cuba memberi tekanan, mungkin kerana kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.


Musa dalam wawancara itu berkata, bahawa hanya KPN yang boleh memberi arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.


Dalam pada itu, Musa memberitahu, beliau telah menasihatkan anak buahnya supaya tidak menerima perintah atau arahan daripada pihak luar atau pihak ketiga.


Katanya, ini kerana jika orang ketiga atau orang luar yang memberi perintah kepada pihak polis untuk membuat siasatan, ia tidak bersesuaian dengan undang-undang iaitu Akta Polis.


Jelas beliau, sekiranya perintah seseorang itu menyalahi undang-undang maka PDRM akan bertanggungjawab terhadap tindakan yang dijalankan.


"Jika PDRM menyiasat sesuatu itu berdasarkan arahan atau tekanan daripada pihak ketiga, ia akan mencalarkan keyakinan masyarakat kepada pasukan itu sendiri," katanya.

Related Posts with Thumbnails