Monday, March 8, 2010

Malaysia jadi mangsa transit dadah


Musa Hassan beramah mesra bersama penduduk sekitar Damansara dan Petaling Jaya selepas mengadakan sesi dialog di Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 6 Mac - Bekalan bahan mentah untuk menghasilkan dadah yang berlebihan di negara-negara Segi Tiga Emas mendorong kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab atau transit penyeludupan dadah.


Malah, peningkatan harga pasaran yang tinggi iaitu lima kali ganda berbanding harga asal sebelum ini juga menyebabkan sindiket penyeludupan perlu segera menjual dadah, walaupun terpaksa melalui negara ini.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, berikutan perkembangan itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan Malaysia turut dijadikan mangsa sebagai hab atau transit sindiket penyeludupan dadah.


Bagi memastikan usaha menangani kegiatan itu dapat dikawal, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses untuk meletakkan seorang pegawainya di tujuh buah negara yang dikategorikan sebagai 'panas' dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.


Beliau berkata, antara tujuh negara tersebut adalah Vietnam, Iran dan Afghanistan.


"Langkah menempatkan pegawai- pegawai PDRM ke negara-negara tersebut dilihat amat tepat untuk mengekang kegiatan penyeludupan dadah masuk ke Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bertemu masyarakat di dataran pusat beli-belah Amcorp Mall di sini hari ini.


Polis baru-baru ini mendedahkan bahawa kumpulan mafia yang terkenal dengan organisasi jenayah pengedaran dadah antarabangsa dikesan melebarkan sayapnya ke negara ini.


Perkara berkenaan terbongkar apabila tiga warga Iran ditahan di ibu negara. Bagi tahun 2010, sehingga kini seramai 41 warga Iran ditahan di negara ini kerana menyeludup dadah.


Sementara itu beliau berkata, tindakan seorang anggota polis menembak tunangnya sebelum cuba membunuh diri dengan meminum racun pada Selasa lalu akan diadili mengikut undang-undang, biarpun pelaku jenayah itu seorang anggota keselamatan.


Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan bersekongkol dengan mana-mana penjenayah, walaupun ia berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal, Musa memberi amaran kepada anggota dan pegawai PDRM agar tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.

Related Posts with Thumbnails