Sunday, March 7, 2010

Kempen PDRM dekati masyarakat beri kesan positif

PUTRAJAYA 6 Mac - Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan lebih ramai anggota polis di jalanan dan kempen berinteraksi dengan orang ramai iaitu 'Berhenti dan Bercakap' telah memberi impak besar kepada tempoh awal program tersebut.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, berikutan langkah itu, sebagai contoh, kadar jenayah di empat kawasan perumahan di Cheras, salah satu lokasi panas jenayah di ibu negara menurun secara mendadak antara 40 hingga 60 peratus.


"Analisis ini dibuat berdasarkan kes- kes jenayah jalanan yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 205 hari iaitu dari tarikh bermulanya program rintis di kawasan itu pada 5 Ogos tahun lalu hingga 28 Februari lalu, berbanding tempoh yang sama sebelumnya.


"Di Taman Midah, kes yang direkodkan telah berkurangan sehingga 60.7 peratus, Taman Connaught (68.5 peratus), Taman Anggerik dan Alam Damai (41 peratus) dan Permaisuri (50 peratus)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengumumkan 50 lokasi panas yang dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.


Bagaimanapun, Hishammuddin memberitahu, langkah yang telah dimulakan dengan pelbagai siri perbincangan dan pertemuan itu perlu disemarakkan lagi dengan penglibatan pemimpin dan anggota masyarakat.


"Berdasarkan maklum balas daripada beberapa taklimat keselamatan untuk wakil masyarakat di beberapa negeri baru-baru ini, saya dapati pemimpin dan anggota masyarakat bahawa mereka dihargai apabila dilibatkan dalam taklimat itu.


"Masyarakat sebenarnya berharap agar dapat turut serta dalam sebarang inisiatif yang dilaksanakan oleh KDN dan polis bagi mengurangkan lagi kadar jenayah dalam institusi kejiranan mereka," katanya.


Sehubungan itu, beliau mahu saluran sedia ada seperti Rakan Cop dan Komuniti Kepolisan terus diperluaskan bagi mengukuhkan hubungan yang lebih erat dengan masyarakat.


"Langkah ini juga boleh membantu polis untuk mendapat maklumat dengan lebih cepat, sekaligus mendekatkan masyarakat dengan pihak berkuasa," katanya.

Related Posts with Thumbnails