Sunday, March 28, 2010

BIOFIS tingkat 70% selesai kes PDRM

KUALA LUMPUR 26 Mac - Penggunaan Sistem Indentifikasi Cap Jari Biometrik (BIOFIS) yang mula digunapakai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun lalu, kini menampakkan keberkesanannya apabila pasukan tersebut berjaya meningkatkan kadar penyelesaian kes jenayah sehingga 70 peratus.


Sebelum ini, penggunaan sistem Identiti Cap Jari Automatik (MAFIS) yang digunakan PDRM hanya berjaya mengesan 377 kes pada 2008 tetapi meningkat kepada 1,015 kes pada tahun lalu.


Kaedah MAFIS yang digunakan PDRM mempunyai kelemahan dari segi penjimatan masa kerana proses untuk menganalisis maklumat dan mengesan suspek perlu dilakukan secara manual.


Ia dilakukan dengan menggunakan dakwat cap jari khusus pada kertas sebelum dipos ke pangkalan data, berpusat di Pusat Pendaftaran Penjenayah Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah atau Sarawak.


Proses untuk mendapatkan keputusan pula sudah tentu akan memakan masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari.


Sebaliknya, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dengan penggunaan BIOFIS, ketiga-tiga pangkalan data itu digabungkan di bawah satu 'bumbung' iaitu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.


Ismail berkata, kini dengan penggunaan sistem itu, polis hanya memerlukan masa 10 minit untuk mengesan suspek serta mencari maklumat mereka.


"Sistem BIOFIS yang disambungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu mampu mengesan 500 hingga 1,000 identiti suspek pada setiap hari.


"Ini kerana proses penghantaran cap jari secara terus atau dokumen akan dihantar secara elektronik ke pangkalan data pusat melalui IPK mahupun Ibu pejabat Polis Daerah (IPD)," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sistem BIOFIS di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.


Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dan Ketua-ketua polis negeri.


Ismail berkata, BIOFIS bukan hanya digunakan Jabatan Siasatan Jenayah tetapi akan turut digunakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.


Tambahnya, ia turut akan diperluaskan lagi dengan kerjasama Jabatan Imigresen dalam masa terdekat bagi memantapkan lagi kadar penyelesaian kes.


"Zaman ini ketepatan fakta dan ketetapan bukti dalam mengesan penjenayah dalam masa yang singkat adalah elemen penting penyiasatan," katanya.


Pada peringkat permulaan Ismail berkata, hanya beberapa IPD yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi akan dilengkapi dengan sistem tersebut.


Katanya, bagi IPD yang tidak dilengkapi dengan kemudahan itu, boleh dirujuk melalui IPK kontinjen masing-masing.


"Dengan adanya sistem ini, saya meminta semua pegawai dan anggota supaya menggunakan kemudahan yang disediakan ini," ujarnya.


Tambah Ismail, beliau telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah agar tidak lagi menggunakan cara manual bagi mempercepatkan penyelesaian sesuatu kes.

Related Posts with Thumbnails