Wednesday, March 10, 2010

Awas panggilan lelaki menyamar guru dari JPD

ALOR SETAR 8 Mac - Para kontraktor dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap individu tertentu yang menyamar sebagai guru dari Jabatan Pelajaran Daerah (JPD) dan menawarkan projek pembaikan sekolah.


Ia berikutan terdapat 11 kes penipuan menggunakan modus operandi itu dilaporkan di negeri ini sejak Januari tahun lalu membabitkan kerugian RM29,500.


Kes terbaru dilaporkan berlaku di Kubang Pasu, dekat sini, semalam.


Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, penipuan itu dipercayai dilakukan oleh individu sama dengan menjadikan kontraktor sebagai mangsa.


Katanya, suspek akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai guru dan kemudian menawarkan projek pembaikan sekolah kepada mangsa.


Tambahnya, alasan yang diberikan adalah kononnya kerana dia tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.


"Kadar yang dikenakan untuk mendapatkan sesuatu projek antara RM3,000 dan RM5,000, sebagai ganjaran kepada guru besar sekolah terlibat.


"Apabila mangsa menunjukkan minat, lelaki terbabit meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun atas nama wanita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Syed Ismail berkata, individu tersebut menggunakan empat akaun wanita yang berbeza dan polis kini sedang giat mengesan pemilik akaun berkenaan.


Beliau juga meminta kontraktor yang menerima panggilan telefon menawarkan projek pembaikan agar memastikan kesahihannya dengan Jabatan Pelajaran Daerah.


Dalam pada itu, katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati jika menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya telah memenangi hadiah tertentu.


"Di negeri ini sahaja, sepanjang 14 bulan lalu polis Kedah merekodkan 37 kes penipuan melibatkan kerugian kira-kira RM110,000 akibat penipuan seumpama itu," ujar beliau.

Related Posts with Thumbnails