Sunday, March 28, 2010

81,853 jadi ahli Rakan Cop di Perak

IPOH 25 Mac - Perak mencatatkan jumlah keahlian Rakan Cop tertinggi di Malaysia dengan 81,853 menjadi ahli setakat ini.


Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, daripada keseluruhan 333,093 ahli Rakan Cop di seluruh Malaysia, Perak berjaya menarik keahlian tertinggi dan mengatasi Kuala Lumpur yang sebelum ini mendahului.


"Nampaknya kempen kita menarik ahli Rakan Cop berjaya. Tahun lalu, Perak berada di tempat kedua mempunyai ahli teramai.


"Ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Saya harap selepas ini polis akan mendapat lebih banyak kerjasama daripada masyarakat untuk memerangi jenayah," katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Memperbaharui Ikrar Sempena Peringatan Hari Polis Ke-203 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.


Menurut Zakaria, melihat kepada perkembangan positif tersebut, polis Perak menyasarkan penambahan 20 peratus iaitu kira-kira 100,000 ahli Rakan Cop untuk tahun ini.


Sementara itu, ketika mengulas mengenai jenayah indeks di negeri ini Zakaria berkata, peratusan kejadian jenayah di Perak untuk tempoh Januari hingga Februari tahun ini semakin menurun iaitu daripada 2,778 tahun lalu kepada 2,146.


Jelasnya, bagi memastikan kadar jenayah semakin menurun, Unit Tindakan Cepat (SWAT) akan digerakkan ke semua daerah dalam tempoh terdekat.


Unit itu katanya, akan diperhebatkan membabitkan anggota peronda yang berhenti pada masa tertentu untuk berinteraksi dengan masyarakat dalam kawasan rondaan.


"Kebimbangan masyarakat terhadap jenayah masih tinggi dan keberkesanan polis menangani isu jenayah masih belum memuaskan hati mereka.


"Oleh itu, semua anggota perlu bekerja lebih keras dan bijak serta menggunakan sumber-sumber yang ada bagi membendung jenayah sekali gus mengembalikan keyakinan masyarakat," katanya.

Related Posts with Thumbnails