Wednesday, March 3, 2010

296 ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu

KUALA LUMPUR 2 Mac - Seramai 296 orang penagih dan pengedar dadah ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu di lokasi 'panas' yang dikenal pasti di sekitar ibu negara, bermula 22 Februari hingga 28 Februari lalu.


Daripada jumlah tersebut, seramai 49 orang termasuk tiga wanita ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dan memiliki dadah.


Selebihnya iaitu 203 lelaki dan 44 wanita ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1983 kerana didapati positif dadah ketika ujian saringan awal air kencing.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, kesemua individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 52 tahun.


"Polis turut merampas 79.5 gram heroin, 251 gram syabu, 31.6 gram ganja, 22.3 gram ketamin dan 16 biji pil ekstasi.


"Operasi itu mensasarkan kawasan-kawasan 'panas' seperti di Projek Perumahan Rakyat dan kedai minuman keras dengan tujuan mengurangkan kadar jenayah jalanan," katanya.


Jelas Chez Chiang, antara lokasi yang terlibat termasuk Jalan dan Lorong Haji Taib, Jalan Tiong Nam, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Petaling Street, Setapak, Kepong, Jinjang Utara, Jalan Thambipillay, Jalan Berhala dan Jalan Klang Lama
Related Posts with Thumbnails