Thursday, February 4, 2010

Jenayah Pulau Pinang turun 15 peratus

BUTTERWORTH 3 Feb. - Kadar jenayah di Pulau Pinang berjaya dikurangkan sebanyak 15 peratus sepanjang bulan Januari ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama pihak polis dan orang awam dalam memerangi jenayah melalui pasukan sukarela seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rukun Tetangga.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kadar itu diharapkan berterusan agar sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah keseluruhan sebanyak lima peratus dan 20 peratus jenayah jalanan tahun ini tercapai.

Menurutnya, kerjasama antara polis dan badan sukarela berkenaan akan ditingkatkan dengan menarik penyertaan seluruh masyarakat termasuk golongan muda dalam pelbagai aktiviti pencegahan jenayah

"Polis juga telah mengenal pasti 10 kawasan panas yang menjadi tumpuan program memerangi jenayah ini, melibatkan lima daerah.

"Antara kawasan terlibat adalah Butterworth dan Mak Mandin di Seberang Perai Utara (SPU), Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan serta Bukit Minyak dan Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah," katanya ketika menghadiri program Kepolisan Berprofil Tinggi di sini hari ini.

Selain itu empat kawasan dikenal pasti sebagai kawasan panas di Timur Laut iaitu Central, Jelutong, Pulau Tikus dan Jalan Patani manakala di daerah Barat Daya melibatkan kawasan Bayan Lepas.

Program rondaan oleh ketua-ketua jabatan polis Ibu Pejabat Polis Daerah SPU itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Polis Zulkifli Alias.

Tambah Ayub, strategi mewujudkan kawasan panas mula membuahkan hasil apabila hanya satu kes ragut dilaporkan di sekitar Jalan Raja Uda di sini sejak Ogos lalu hingga Januari tahun ini.

Jelasnya, polis berhasrat menjadikan kawasan itu yang terkenal dengan aktiviti ragut, samun, peras ugut, judi dan kongsi gelap sebagai kawasan putih dalam masa terdekat.

"Polis juga akan mewujudkan satu bit polis di kawasan ini selain meningkatkan rondaan berterusan serta memperkemaskan pasukan rondaan berpayung.

"Ia bukan saja membolehkan masyarakat merasa selamat dengan kehadiran polis malah merancakkan lagi aktiviti perniagaan di sini," ujarnya.
Related Posts with Thumbnails