Thursday, January 7, 2010

Tingkatkan azam perangi jenayah

PADA permulaan tahun baru 2010 ini biarlah setiap rakyat membuat azam baru untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat yang lebih selamat bukan sahaja daripada keganasan dan jenayah tetapi juga daripada tragedi yang disebabkan oleh perbuatan kita sendiri sama ada di jalan raya, di penempatan penduduk, kawasan orang awam atau di tempat kerja.


Kekerapan berlaku kejadian kemalangan jalan raya yang membabitkan kenderaan awam seperti bas ekspres dan kenderaan persendirian membuktikan bahawa tahap kesedaran keselamatan di jalan raya masih tidak memuaskan dan perlu dipertingkatkan.


Adalah penting bagi semua rakyat Malaysia menjadikan iktibar dan pelajaran mengenai kemanusiaan bahawa sesuatu tamadun itu boleh hancur musnah sekiranya kita tidak mesra serta memelihara alam sekitar.


Apabila terdapat bangunan runtuh atau alam sekitar tercemar atau kemalangan maut berlaku di tempat kerja, kita adalah bertanggungjawab terhadap kejadian ini. Kita tidak boleh menyalahkan alam semula jadi atau peralatan di tempat kerja.


Kita mula menyedari bahawa sebarang tindakan yang menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada alam sekitar akan mendatangkan akibat yang amat buruk.


Beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk pembangunan tetapi apa yang dikesalkan ialah penyenggaraan yang tidak memuaskan dan tidak sempurna. Sesiapa yang diberi tanggungjawab tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini.


Dari segi politik pula, Malaysia perlu terus bersatu dan mengekalkan keamanan dan kestabilan politik walaupun terdapat perbezaan fahaman dan ideologi politik.


Kerajaan harus meneruskan usaha dalam memberikan makna serta realisasi yang mendalam terhadap seruan Perdana Menteri ke arah 1Malaysia.


Setelah meraih 52 tahun kemerdekaan, kita tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan berusaha ke arah untuk mencapai 1Malaysia dengan suatu persefahaman dan perkongsian masa depan bersama.


Semua rakyat yang berbilang kaum ingin melihat kerajaan mengambil langkah selanjutnya untuk menghadapi impak dan kesan daripada kegawatan ekonomi dunia, untuk mengekalkan perpaduan, keamanan dan kestabilan, mendukung hak semua rakyat Malaysia yang dijamin dalam Perlembagaan dan untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan teknologi dengan pembangunan moral dan sosial.


Kita perlu menangani dengan lebih agresif isu integrasi kaum, perpaduan dan pembangunan negara di samping menangani isu jenayah, penagihan dadah dan masalah sosial yang lain.


Apa yang lebih penting ialah harapan semua rakyat Malaysia untuk melihat pada tahun 2010, pihak berkuasa meningkatkan usaha memerangi jenayah. Kerana ia adalah isu yang menjadi kebimbangan semua rakyat Malaysia.


Kejadian jenayah menjadi masalah utama selain daripada isu ekonomi, maka perlu ada resolusi tahun baru mengenainya untuk memberi suntikan baru terhadap usaha-usaha yang sedang dilakukan bagi memerangi jenayah dengan penglibatan semua masyarakat di Malaysia.


Related Posts with Thumbnails