Tuesday, January 12, 2010

Rela mulakan tugas sebagai anggota sukarelawan polis.


BEBERAPA anggota Rela yang menyertai Sukarelawan Simpanan Polis bersama pelancong asing ketika mereka meronda kawasan ‘panas’ jenayah di Kuala Lumpur, semalam. – ZAINI HUSIN/utusan


KUALA LUMPUR 11 Jan. - Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bersedia ditempatkan di mana-mana sahaja sebagai polis sukarelawan untuk memastikan orang awam bebas dari ancaman jenayah.


Anggota Rela yang ditemui di sekitar ibu kota hari ini memberitahu, mereka bangga apabila dapat membantu polis mencegah jenayah di kawasan panas di seluruh negara.


Noorisham Ramly, 42, berkata, anggota Rela tidak kira di mana mereka ditugaskan akan berusaha menjaga keselamatan negara, agama dan bangsa.


"Tugas ini dapat menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan tugas anggota Rela," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.


Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, seramai 1,042 anggota Rela akan ditempatkan sebagai polis sukarelawan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor untuk mencegah jenayah di 'kawasan-kawasan panas.'


Ketua Platun Rela Masjid India, Abdul Rahman Sulaiman, 45, berkata, beliau menyokong langkah terbaru kerajaan itu tetapi mengharapkan agar elaun anggota Rela dinaikkan.


Seorang lagi anggota Rela, Mahadi Saud, 35, menyatakan usaha memperluaskan tugas Rela amat baik kerana ia dapat membantu mengawal keselamatan negara dengan lebih berkesan.

Related Posts with Thumbnails