Tuesday, January 12, 2010

Puduraya kini lebih selamat

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pengguna Hentian Puduraya akan berasa lebih selamat apabila lebih ramai anggota polis dan pihak keselamatan lain akan ditempatkan dan dapat dilihat di hab bas terbesar itu untuk mengurangkan risiko jenayah jalanan.


Hentian Puduraya termasuk dalam kawasan paling panas di dalam senarai 10 kawasan panas di negara ini - enam daripadanya di Kuala Lumpur, tiga di Johor dan satu Selangor.


Terdapat 50 kawasan panas dikenal pasti di seluruh negara.


Hentian Puduraya, yang merupakan salah satu kawasan tumpuan utama rakyat, terletak di bawah seliaan Balai Polis Tun HS Lee.


Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk seri Hishammuddin Tun Hussein, kehadiran lebih ramai anggota polis meronda kawasan itu akan dibantu oleh anggota-anggota Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) yang terdiri daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA).


"Saya memilih lokasi ini (untuk lawatan hari ini) kerana kawasan-kawasan di bawah seliaan Balai Polis Tun HS Lee seperti di Bukit Bintang, Hentian Puduraya dan Jalan Petaling mencatatkan kadar jenayah jalanan yang tertinggi di antara 50 kawasan panas seluruh negara.


"Ini disebabkan kawasan-kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh pelosok negara serta pelancong-pelancong asing," katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.


"Saya dapati pelaksanaan usaha ini telah berjalan dengan baik dan para SSP telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap tugasan baru mereka dalam membantu pihak polis, terutama yang melibatkan aktiviti rondaan.


"Saya yakin, jika usaha ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kadar jenayah di kawasan-kawasan panas ini akan mencatatkan penurunan," katanya.


Ujarnya lagi, untuk mencapai matlamat itu, pihaknya telah meningkatkan jumlah anggota SSP di kawasan itu.


Beliau menjelaskan, jumlah anggota polis yang akan bertugas di kawasan itu ialah sebanyak 40 orang SPP Rela 20 orang dan SPP JPA 10 orang pada setiap syif.


Beliau menjelaskan, jumlah jenayah jalanan di kawasan itu menunjukkan penurunan sejak skim terbaru itu diwujudkan.


Katanya, ia dibuktikan menerusi statistik terbaru pada hujung tahun lalu iaitu kadar jenayah pada November ialah sebanyak 122 kes dan menurun kepada 102 kes pada Disember.


Pada 2008, sebanyak 105 kes jenayah berlaku pada November dan meningkat kepada 143 kes pada Disember.

Related Posts with Thumbnails