Sunday, January 3, 2010

Polis maut tembak diri sendiri

KOTA KINABALU 2 Jan. - Seorang pegawai polis maut selepas dipercayai bertindak menembak kepalanya di ruang tamu rumahnya di Pangsapuri City, Inanam, dekat sini hari ini.


Mangsa berusia 50 tahun yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu berbuat demikian dipercayai ekoran masalah peribadi.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika mengesahkan perkara itu berkata, mangsa bertindak demikian menggunakan sepucuk pistol.


"Isteri mangsa membawa suaminya ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini, tetapi meninggal sejurus tiba.


"Difahamkan ketika dalam perjalanan ke QEH, mangsa masih lagi hidup tetapi berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya di sini semalam.


Ahmad Sofi menolak kejadian tersebut bermotifkan jenayah namun masih menjalankan siasatan lanjut.


Menurutnya, mangsa sebelum ini tidak menunjukkan tanda-tanda atau mempunyai sebarang masalah di tempat kerja.


"Mangsa merupakan seorang pegawai yang mempunyai rekod kerja cemerlang di samping memiliki ilmu pengetahuan luas dalam bidang kepolisan kerana sudah lama berkhidmat.


"Kami di IPD Kota Kinabalu sangat terkejut dengan kejadian itu kerana beliau adalah pegawai yang rajin, komited dan mesra," katanya.


Ahmad Sofi menambah, mangsa meninggalkan seorang balu dan tujuh anak.

Related Posts with Thumbnails