Thursday, January 28, 2010

Orang ramai sedia beri kerjasama penuh

KOTA KINABALU 27 Jan. - Orang ramai menyambut baik kempen High Profile Policing yang diadakan di bandar raya ini dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.


Rata-rata mereka yang ditemui sedia memberi kerjasama kepada pihak polis bagi mewujudkan jenayah sifar di bandar raya ini.


Alvina Insan,26, berkata kempen turun padang ini merupakan cara terbaik bagi polis mendekati orang ramai dan mengenal pasti jenis jenayah yang berlaku.


Dia yang bekerja sebagai jurujual berkata, langkah berkenaan menunjukkan komitmen berterusan polis dalam menangani kegiatan jenayah di sini.


"Ia termasuklah dalam memberi nasihat, peranan yang perlu dibuat jika timbul kes jenayah dan sebagainya yang memerlukan penyelesaian terus oleh pihak polis.


"Jadi, dengan adanya kempen ini akan memudahkan orang ramai membuat tindakan segera diambil jika berlaku jenayah," katanya.


Bagi Lialah Sibih, 25, kempen itu bukan sahaja dapat menyedarkan orang awam mengenai langkah pencegahan jenayah tetapi mengeratkan lagi hubungan antara orang ramai dan polis.


"Jika dulu hendak tegur polis pun takut, tetapi dengan adanya kempen ini kita dapat mengenali polis dengan lebih rapat dan sebenarnya mereka ini rakan yang baik," katanya.


Dalam pada itu Alex Ngu Ying, 24, berkata, kempen ini membuatkan orang awam berasa lebih selamat dan sentiasa dilindungi dari sebarang kejadian jenayah.


Justeru katanya, dia berharap kempen itu akan digerakkan secara berterusan dan diperluaskan di seluruh negeri.


"Selama ini saya tidak berasa yakin ketika berada di kawasan bandar raya kerana banyak jenayah berlaku sejak kebelakangan ini, jadi dengan adanya kempen ini saya sangat yakin dan lebih selamat,'' katanya.


Sementara itu, bagi Imran Mohamad, 32, kempen seperti itu akan dapat memberi keyakinan kepada pelancong untuk datang melawat ke negeri ini.


Katanya, secara tidak langsung ia akan dapat meningkatkan lagi ekonomi negeri yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Related Posts with Thumbnails