Thursday, January 28, 2010

Menurunkan kadar jenayah

KOTA KINABALU 27 Jan. - Laman web baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah yang dilancarkan hari ini akan memberi sumbangan yang signifikan dalam usaha menurunkan kadar jenayah di negeri ini.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, laman web interaktif itu disasar mampu menurunkan lima peratus indeks jenayah pada tahun ini.


"Melalui laman web ini kita akan dapat berkongsi maklumat dengan orang awam bagi mengatasi masalah jenayah di negeri ini.


"Aduan dan permasalahan akan dikumpul dan dianalisis bagi mengambil tindakan yang wajar, malah sekiranya ia kes serius saya sendiri akan menjalankan siasatan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan laman web baru PDRM Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.


Menurut Noor Rashid, laman web itu bukan sahaja dapat menerima aduan orang ramai malah mampu berinteraktif dengan lebih berkesan.


Selain itu, katanya, laman web berkenaan akan memaparkan maklumat berkaitan aktiviti polis Sabah seperti operasi pencegahan jenayah, rangkaian balai polis dan statistik jenayah.


"Orang ramai bolehlah melayari laman tersebut di alamat www.sabahrmp.gov.my dan memberi sebarang aduan atau pandangan yang akan diambil tindakan secepat mungkin," katanya.


Dalam pada itu, katanya, pihak polis akan terus menggiatkan pemantauan dan operasi bagi menangani masalah jenayah.


Jelasnya, pada masa ini pihaknya telah menetapkan kawasan yang akan dipantau secara berterusan di seluruh negeri.


"Kita akan mengerakkan anggota kita untuk memberi tumpuan kepada kes-kes jenayah seperti samun, pecah rumah dan sebagainya di semua tempat termasuk di kawasan pedalaman dan ladang-ladang sawit," katanya.


Sementara itu katanya, pihak polis akan memberi perhatian serius terhadap kes pecah rumah yang telah menyumbang sebanyak 25 peratus kepada indeks jenayah negeri.


Beliau memberitahu, antara langkah yang akan dilakukan adalah meningkatkan rondaan di kawasan yang dikenal pasti.

Related Posts with Thumbnails