Monday, January 11, 2010

Jangan sertai perhimpunan haram Rabu ini - Polis

PETALING JAYA 10 Jan. - Polis memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak mengadakan atau menyertai perhimpunan haram yang dirancang diadakan di luar Gereja Assumption di sini, Rabu ini.


Perhimpunan haram itu dipercayai bagi melahirkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap serangan terhadap beberapa buah gereja di seluruh negara sejak kebelakangan ini.


Sejak beberapa hari lepas, terdapat pihak-pihak tertentu menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengajak orang ramai berkumpul dan berarak sambil memasang lilin di luar gereja berkenaan Rabu ini.


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berdegil mengadakan perhimpunan itu.


Tegasnya, orang ramai tidak seharusnya mempercayai khabar angin seumpama itu kerana tindakan tersebut jelas sekali melanggar undang-undang.


"Polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang berdegil menyertai perhimpunan Rabu ini kerana ia mengganggu ketenteraman awam," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Gereja Assumption di sini hari ini.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat turut mengadakan lawatan ke gereja itu dan berbincang sesuatu dengan pihak pengurusan gereja tersebut sebelum beredar.


Khalid berharap semua pihak bersikap rasional dalam isu yang sedang berbangkit itu dan tidak membelakangkan undang-undang negara dalam membuat keputusan.


Menurutnya, sebarang tindakan yang di luar kawalan, tidak akan memberi sebarang manfaat sebaliknya akan mengeruhkan keadaan.


Kata beliau, kegagalan mematuhi arahan polis itu akan menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 27(5) atau 27(5)(a) Akta Polis 1967 iaitu menyertai atau mengadakan perhimpunan tanpa permit.


Pada masa yang sama beliau berkata, pihaknya telah meningkatkan pemantauan serta kehadiran polis peronda di semua tempat ibadat di negeri ini termasuk kuil dan masjid bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.


Khalid juga mengesahkan, setakat petang ini hanya tiga buah gereja di Selangor dilempar bom petrol, sebuah terlibat dalam kecurian dan sebuah surau di Taman Menara Maju di Kampung Jawa, Klang dibaling batu menyebabkan pintu kaca utamanya pecah, pagi semalam.


"Keadaan ketika ini masih terkawal. Saya minta orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi. Ia hanya akan memburukkan keadaan," tambah beliau.


Ditanya mengenai siasatan awal gereja yang diserang itu, Khalid berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian tersebut berdasarkan beberapa petunjuk yang diperoleh.


Dengan penahan itu, beliau yakin polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun di Lembah Klang dan Pahang.

Related Posts with Thumbnails