Tuesday, December 15, 2009

Anggota beruniform (PDRM BALING) dihargai (feedback)


ABDUL Azeez Abdul Rahim (tiga dari kanan) menyerahkan kuih raya kepada Mat Daud Mat Hasan untuk disampaikan kepada pegawai dan anggota polis Baling yang bertugas pada hari raya di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, Baling, Kedah, semalam.



BALING 16 Sept. - UMNO Bahagian Baling hari ini menghulurkan sumbangan kuih raya kepada anggota keselamatan yang akan bertugas ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.


Ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, program sumbangan itu bukan sahaja dapat mendekatkan anggota pasukan keselamatan dengan masyarakat bahkan mengingati jasa dan amanah yang dipikul mereka.


Menurut beliau, sudah menjadi amalan setiap tahun pihaknya akan menghulurkan sumbangan kuih kepada anggota keselamatan seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan kakitangan hospital bagi menghargai pengorbanan mereka.


"Sudah menjadi amalan kita untuk mengingati mereka yang sanggup bertugas pada hari raya. Pengorbanan kumpulan ini amat besar ertinya kepada masyarakat dan negara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada Ketua Polis Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling (IPD) Baling di sini hari ini.


Hadir sama Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Supritendan Abdul Rahim Abdulah; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd. Khairul Azhar Abdullah dan Ketua Puteri Bahagian, Suriati Che Mid.


Sebelum itu Abdul Azeez dan ahli jawatan kuasa UMNO bahagian turut menyampaikan sumbangan kuih kepada anggota JPAM di Pusat Latihan JPAM di sini dan kepada anggota Bomba dan Penyelamat Daerah Baling.


UMNO bahagian tersebut turut menyediakan sumbangan kuih kepada semua pesakit dan kakitangan Hospital Baling yang bertugas pada hari raya. Abdul Azeez turut menyampaikan duit raya kepada semua kanak-kanak termasuk bayi yang baru lahir di hospital itu.

Related Posts with Thumbnails