Thursday, November 20, 2008

Majlis Pelancaran E-Payment Saman PDRM

Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur - 10 November 2008. Majlis Pelancaran E-Payment Saman Trafik telah diadakan di Center Court , Mid Valley Megamall. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YDH Tan Sri Dato' Seri Musa bin Dato' Hj Hassan, Ketua Polis Negara.

E-Payment Saman yang dilancarkan ini merupakan sistem pembayaran saman trafik secara elektronik dengan menggunakan kad kredit di Kaunter Saman PDRM yang terpilih. Ini adalah satu usaha sama di antara PDRM dengan Maybank.

E-Payment Saman ini juga adalah satu lagi alternatif baru PDRM untuk memberi kemudahan kepada orang ramai membayar saman di kaunter - kaunter trafik. Sistem ini telah beroperasi pada 3 september 2007 secara berperingkat-peringkat. Fasa pertama melibatkan 13 kaunter saman di bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia. Fasa kedua melibatkan tambahan 33 kaunter saman yang siap pada penghujung Januari 2008 dan fasa terakhir melibatkan kaunter saman dan siap beroperasi pada Julai 2008.

Ini menjadikan keseluruhan sistem E-Payment Saman yang terdapat di seluruh negara berjumlah 85 kaunter. Waktu operasi sistem ini antara jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Kelebihan E-Payment Saman adalah orang ramai tidak perlu membawa wang tunai yang banyak ketika berurusan di kaunter. Ini adalah satu 'advantage' dari aspek keselamatan dan juga jika berlaku situasi tidak cukup tunai", kata YDH Sri Dato' Seri Musa bin Dato' Hj Hassan dalam ucapan beliau.

Walaupun bayaran dibuat secara e-Payment, rayuan masih dibenarkan mengikut prosedur seperti mana bayaran tunai. Usaha untuk menambah perkhidmatan ini akan diteruskan dan dijangkakan pada awal Januari 2009 akan ditambah mengikut keperluan semasa.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh Y.Bhg. Datuk Ahmad Fuad bin Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Y.Bhg. Dato' Sri Abdul Wahid Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, YDH Dato' Abdul Rahman bin Hussin Timbalan Pengarah KDN/KA PDRM, YDH SAC II Abd Aziz bin Yusof Ketua Trafik Pasukan dan pegawai-pegawai kanan PDRM, Visa International dan MasterCard International.

Selain daripada itu, orang ramai juga mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran on-line di www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.



Related Posts with Thumbnails